Semasa berada di Hatyai, DN dan ahli rombongan yang lain telah dibawa ke Thai House Honey Hadyai. Di sini ada menjual pelbagai jenis madu asli. Semua sedia maklum bahawa terdapat banyak khasiat di dalam madu asli ini. Antara khasiat yang DN ingat adalah membantu penglihatan supaya lebih terang dan jelas, mempercepatkan proses penyembuhan bagi kecederaan kulit, menjadikan kulit lebih sihat, menguatkan sistem penghadaman, melegakan batuk yang berpanjangan, memudahkan untuk tidur dan banyak lagi.
Oleh itu, kami telah diberi taklimat berkaitan madu yang dijual di sini. Bukan itu sahaja, setiap orang dari kami juga diberi satu cawan air madu yang sudah disejukkan untuk kami merasai sendiri kelazatan air tersebut. DN pun turut merasainya. Memang sedap.
Kami juga telah didedahkan untuk mengenalpasti sama ada madu yang dijual adalah asli atau tiruan. Antara cara yang ditunjukkan adalah :-
1. Ambil satu sudu madu dan tuangnya ke dalam cawan dengan kedudukan agak tinggi sedikit. Jika madu yang turun dari sudu tersebut tidak putus maka madu tersebut memang asli.
2. Biarkan madu tersebut terbuka penutupnya. Jika tiada semut yang datang, madu tersebut asli kerana tiada campuran gula.
3. Letakkan sesudu madu di dalam pinggan lutsinar. Masukkan air dan goyangkan pinggan tersebut. Kita akan dapati air dan madu sukar untuk disebatikan dan akan menjadi berbelak seperti sarang tebuan. Jika madu tiruan, masuk air dan goyangkan, sekejap sahaja madu tersebut sudah bercampur dengan air.
Untuk minum madu ini kami dinasihatkan menggunakan sudu plastik yang diberikan dan tidak dibenarkan minum madu dengan air panas. Selain itu, madu juga perlu disimpan di tempat kering dan jauh dari pancaran cahaya matahari.
DN telah membeli 3 kotak madu ini untuk dibawa pulang. Memang DN sudah lama hendak membeli madu, akhirnya hajat DN tercapai juga. Harga sekotak madu ini adalah 750baht.
Nampak tak gambar yang tertera pada kotak itu? Gambar perempuan yang dikalungkan dengan gelung keseluruhan lehernya. Takut DN tengok gambar ini tetapi menurut Osman, di perkampungan mereka inilah tempat madu-madu asli ini terhasil. Merekalah yang mengambil madu-madu ini sebelum dibotolkan seperti sekarang.
Di perkampungan ini juga turut diadakan pertandingan tau. Barang siapa yang mempunyai leher yang tinggi maka perempuan itu merupakan perempuan tercantik di kampungnya. Macam mana nak tahu? Kira lah berapa gelung yang mereka pakai pada leher mereka. Huhu..... Macam-macam DN fikir tapi biarlah ia bermain di dalam fikiran DN sahaja. Heee....