Quantcast
Channel: deqnoor.com
Viewing all articles
Browse latest Browse all 471

Pengalaman Menaiki Bas Dari Phnom Penh ke Saigon

$
0
0
 Assalamualaikum...

Kali ini DN terasa hendak berkongsi dengan semua pengalaman DN menaiki bas dari Phnom Penh ke Saigon atau dikenali kini sebagai Ho Chi Minh City. Ada yang pernah menaiki bas disini? Pengalaman pertama DN ini merupakan pengalaman berharga yang tidak dapat DN lupakan. Sebenarnya, bas tetap sama seperti di Malaysia tetapi suasana dan persekitaran yang berbeza menyebabkan DN teruja untuk berkongsi pengalaman DN dengan semua.
 Inilah tiket bas DN. Harga perjalanan menaiki bas dari Phnom Penh ke Saigon adalah 40,000 riels (~RM33). Bas bertolak seawal jam 6.30 pagi oleh itu, kami bergerak dari Holiday Villa Hotel sekitar jam 6.00 pagi. Mujur hotel dengan stesen bas tidak jauh, tidak sampai 15 minit DN sudah tiba di stesen bas. 6.30 pagi di sini sudah terang jadi tidak lah awal mana pun.
 Masing-masing mengambil tempat duduk di kerusi masing-masing. Bag kami yang besar-besar sudah diletakkan di tempat penyimpanan bag, hanya bekalan makanan yang dibekalkan dibawa naik ke atas. Maklum sahaja, bukan senang untuk mendapatkan makanan halal sepanjang perjalanan dan berhenti rehat di perhentian rehat sebentar nanti. Oleh itu, makanan seperti roti, piza dan donut telah dibawa sebelum kami memulakan perjalanan ke Saigon.
Sebelum memulakan perjalanan, konduktor bas meminta passport kami semua untuk dipegang olehnya. Risau juga untuk memberikan passport sebenarnya. Hilang passport, boleh tak balik DN dibuatnya. Huhu... Tetapi ini adalah prosedur maka DN ikutkan sahaja. Konduktor bas memberikan taklimat dan kata-kata aluan kepada semua penumpang di dalam bas di awal perjalanan. Rasa macam menaiki kapal terbang sahaja kerana konduktor bas ini sangat fasih berbahasa English dan memberi penerangan dengan bahasa yang lemah lembut seperti pramugari / pramugara. Kemudian, beliau memberikan air mineral kepada semua penumpang di dalam bas ini. Perjalanan kami tidak jemu kerana di dalam bas ini disediakan wifi percuma. Selain itu, kami juga dihiburkan dengan jenaka, tarian dan nyanyian klasik mereka yang memang DN tidak faham langsung bahasa mereka sepanjang perjalanan ini.
Selepas 2 jam perjalanan, kami tiba di Neak Loeung Ferry untuk menyeberangi ke sempadan Phnom Penh - Saigon. Pertama kali DN berada di dalam bas dan feri dalam masa yang sama. Kelihatan motor dan kereta penuh di dalam feri ini. Teringat pula DN dengan feri di Pulau Pinang yang turut membawa kenderaan menyeberangi lautan yang luas seperti ini. Boleh sahaja jika hendak turun untuk menikmati udara di luar tetapi DN memilih untuk berada di dalam bas sahaja.
Kelihatan pelbagai jenis makanan dijual di atas feri ini. Sempat juga beberapa rakan blogger DN membeli buah-buahan yang dijual oleh mereka dari atas bas ini. DN? Hanya memerhati dari jendela bas sahaja. Lebih berminat melihat gelagat dan reaksi manusia di atas feri yang penuh dengan pelbagai ragam. Ketika ini DN mengambil kesempatan untuk ke tandas di belakang bas. Pada mulanya DN agak was-was untuk ke tandas bas ini kerana dikhuatiri kotor dan macam-macam lagi. Ternyata sangkaan DN salah, tandas di dalam bas ini bersih dan berbau wangi. Apa yang boleh DN simpulkan sepanjang DN berada di Phnom Penh, kebersihan tandas memang terjaga, jauh berbeza dengan Malaysia walaupun Malaysia lebih maju dari mereka. Hmmm... DN tidak mahu mengulas panjang berkaitan kebersihan ini, kalian faham-faham sendiri lah ye.

Sampai sahaja di sempadan Saigon, bas bergerak meninggalkan feri dan menuju ke imigresen. Sebelum sampai ke imigresen, bas berhenti di perhentian untuk sarapan pagi. Di sinilah kami membuka bekalan yang di bawa untuk bersarapan. Selepas 30 minit, kami menaiki bas semula untuk menuju ke imigresen. Semua orang dikembalikan semula passport masing-masing untuk melepasi imigresen. Terdapat beberapa orang yang tidak memberikan passport tetapi DN dapat lihat mereka memberikan wang tunai kepada konduktor bas itu. Hmm... Pasti mereka yang tidak mempunyai passport sudah biasa melakukannya untuk membantu mereka melepasi sempadan Saigon ini. 

Selesai turun dari bas untuk cop passport, passport kami diambil oleh konduktor bas semula dan kami menaiki bas kembali menuju ke bahagian kastam pula. Disini, semua orang dikehendaki turun membawa bagasi masing-masing dan beratur untuk menunggu nama kami semua dipanggil. Apabila nama dipanggil, passport diambil kembali dan perlu melepasi kastam sebelum menaiki bas yang sama. Seorang demi seorang melepasi kastam dan menaiki bas, tetapi seorang dari rakan kami tidak menaiki bas selepas sejam menunggu. Katanya sistem rosak dan perlu menunggu sehingga pulih kembali. Kami di dalam bas tidak keruan menunggu beliau tetapi apakan daya, kami tetap setia menunggu di dalam bas sehingga selepas 2 jam baru kelihatan kelibat beliau berjalan menuju ke bas. Alhamdulillah, lega kami apabila melihat beliau menaiki bas akhirnya.
 Perjalanan diteruskan kembali dan ketika ini DN ditemani seseorang di sebelah DN. Semasa DN bergerak dari Phnom Penh, DN duduk seorang sahaja tetapi selepas melepasi sempadan Saigon, beliau mula menaiki bas ini. DN mengambil kesempatan berbual dengan beliau. DN bertanyakan bagaimana beliau boleh menaiki bas ini di sini sedangkan kalau diikutkan bas ini merupakan bas ekspress dari Phnom Penh ke Saigon. Baru DN tahu, beliau hanya perlu membayar kepada konduktor bas ini untuk sampai ke bandar Saigon dengan lebih murah berbanding mengambil kenderaan lain di Saigon ini. 

Selain itu, kelihatan bas ini berhenti di tepi jalan dan mengambil penumpang yang tidak mempunyai passport tadi. Bagaimana mereka boleh melepasi imigresen dan kastam, DN tidak pasti. Apa yang pasti mereka berjalan agak jauh dari tempat kastam tadi dan menunggu di tepi jalan yang telah dipersetujui oleh mereka sebelum menaiki bas semula. Macam-macam kan. DN perhatikan sahaja apa yang berlaku sepanjang perjalanan ini dan ia merupakan pengalaman yang sangat berharga untuk DN.
 
 Apabila sudah memasuki Saigon, wifi percuma di dalam bas sudah tidak boleh digunakan. Oleh itu, tiada apa yang DN boleh lakukan melainkan berbual dengan teman di sebelah DN sambil menikmati hiburan yang disediakan di dalam bas serta melihat keadaan persekitaran Saigon melalui tingkap bas. DN ingatkan perjalanan tidak lama selepas melepasi imigresen, rupa-rupanya perlu melalui perjalanan selama lebih 2 jam lagi. Oleh itu, DN mengambil kesempatan untuk melelapkan mata seketika. 

Selepas 2 jam, bas berhenti di satu tempat yang sangat tidak familiar untuk DN. Ini bukan kali pertama DN di Saigon tetapi secara jujurnya, DN seperti tidak pernah melalui jalan tersebut. Bas ini bukan berhenti di stesen bas tetapi di tepi jalan sahaja. Kami dikehendaki turun di tempat itu. Semua bagasi kami juga perlu diambil dari tempat penyimpanan bag bas tersebut. Masing-masing seperti tidak tahu untuk berbuat apa-apa, kerana tiada siapa yang menunggu kami di tepi jalan tersebut. Oleh itu, DN mencadangkan kami menaiki teksi menuju ke hotel yang telah ditempah untuk kami.
Akhirnya, tibalah kami ke Hotel An Tam ini pada jam 3.30 petang. Bayangkan kami di dalam bas dari 6.30 pagi sehingga 3.30 petang. 9 jam tu.... Lama kan. Perjalanan yang dijangkakan selama 6 jam sahaja menjadi 9 jam disebabkan tersangkut di kastam agak lama. Tidak mengapa, pengalaman ini tidak semua orang dapat merasainya.

Selepas check in, kami keluar semula pada jam 4 petang menuju ke Ben Thanh Market. Walaupun kami hanya mempunyai 2 jam untuk bershopping di sini, masa yang ada tidak kami persiakan. Kesian sahabat kami yang tersangkut di kastam tadi. Beliau demam sepanjang berada di Saigon ini menyebabkan beliau tidak banyak bershopping seperti kami. Apapun, pastinya pengalaman yang dirasai sendiri oleh beliau merupakan pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Alamak! Panjang pula entry DN kali ini. Hehehe... Lebih baik DN berhenti di sini. DN akan kongsikan pengalaman DN di Saigon ini lain kali ye... ^_^


*****************************
Jika ingin mengikuti perkembangan DN dengan lebih mudah selain dari membaca di blog, boleh follow DN seperti di bawah...
Instagram : deqnoor
Twitter : deqnoor
Google+ : +deq noor
Fanpage : deqnoordotcom

Viewing all articles
Browse latest Browse all 471

Trending Articles