"Muka Surat Cinta" merupakan filem ke-88 terbitan MIG. Kejayaan mendominasi 30% dari kutipan keseluruhan filem melayu di Malaysia pada tahun 2013 menyebabkan MIG mempertaruhkan genre romantik buat pengikut-pengikut filem Melayu tempatan. Ia menjadi pembuka tirai barisan filem-filem yang sedang menanti untuk ditayangkan bagi tahun 2014 ini. Filem "Muka Surat Cinta" arahan Pierre Andre membariskan muka-muka baru sebagai peneraju utama seperti Mikail Andre, Atikah Suhaime, Nina Iskandar, Azwan Kombos dan Afiera Riana. Filem ini secara tidak langsung menggabungkan artis dari 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.
Filem "Muka Surat Cinta" mengisahkan tentang Putra (Mikail Andre), seorang pensyarah fakulti penulisan di sebuah kolej berkahwin dengan Luna (Nina Iskandar) atas pilihan keluarga. Kehidupan mereka hambar kerana tiada perasaan cinta di dalam diri Putra. Walaubagaimanapun, Luna berusaha untuk memikat hati suaminya dengan pelbagai cara. Suatu hari, Putra bertemu kembali sahabat lamanya, Issac (Izwan Kombos) dan meluahkan isi hatinya. Issac menasihati Putra untuk menghargai kehadiran Luna dan mencari kembali perasaannya melalui penulisan. Ini kerana selepas berkahwin, Putra tidak lagi menulis novel seperti dahulu. Dalam pada Putra sedang mencari kekuatan cinta, Nurul (Atikah Suhaime) yang merupakan pelajar Putra sering mengganggu untuk menarik perhatiannya. Usaha Nurul gagal kerana Putra telah jatuh hati dengan penulis catatan di dalam novel berjudul 'Mencari Cinta' yang telah dibelinya di sebuah kedai buku terpakai. Putra mengembara untuk menjejaki siapakah pemilik buku sebelum ini.
Berjayakah Putra menjejaki pemilik buku tersebut? Benarkah Putra sudah jatuh cinta dengan penulis catatan novel itu? Bagaimana hubungan Putra dan Luna selanjutnya? Saksikan di pawagam bermula 16 Januari 2014 ini.
Bagi DN, jalan cerita filem ini agak perlahan dan membosankan. Bagi penggemar filem bergenre romantik, pasti tidak mempunyai masalah untuk menonton filem ini. Segala perbuatan banyak melalui kata hati. Oleh itu, banyak mendiamkan diri tetapi hanya suara dari hati sahaja yang kedengaran. DN agak terganggu dengan pergerakan kamera di dalam filem ini. Banyak gangguan dan DN kerap hilang fokus ketika menontonnya. Kadang di sebalik kerusi, menerusi tingkap dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, pelakon berjaya membawa watak dengan baik. Riak muka dan setiap gerak geri menunjukkan perasaan yang sedang dirasainya. Ketika sedih, resah, gelisah, pendam dan terseksa, semuanya dapat dilihat dengan jelas dari riak muka mereka. DN berikan 2.5/5 untuk filem "Muka Surat Cinta" ini. Antara gambar-gambar babak di dalam filem ini boleh dilihat di bawah :-